Bismillahirrahmanirrahim
p/s: harap bisa membaca dengan lapang hati..ini tulisan pertama, maaf jika ada kekurangan
Melakar cinta di ufuk memori semalam..
Kenyataannya
pada alam maya itu mengejutkan. Siapa sangka, pernyataan dia dan dia bisa
menjentik sekeping hati ini. Lantas, mutiara jernih mengalir lagi buat kesekian kalinya.....
“err...kenapa
saya?” bersama hembusan desahan nafas yang berat. Ragu-ragu dia mendongak.
“cukuplah abang katakan yang Allah yang
memilih sayang...bukan abang” perlahan, tapi cukup jelas.
Rahsia cinta
ilahi tak siapa bisa menduga, cukuplah bagi kita untuk menyambutnya dengan
seraut syukur. Usah menduga yang tak terjangkau fikiran, usah menoleh pada
ketetapan azali, usah memberontak pada segaris takdir yang terlakar. Jalanilah
kehidupan seperti aturan cinta Rabbulizzatialamin.
****************************************************************
Air mata ini
masih terus-terusan mengalir..masih berdegil, masih laju merembes keluar dari
sepasang mata yang terkandung seribu satu rahsia dan rasa hati...dalam perit
menerima kenyataan realiti yang terlakar, bibir mungil itu masih bisa
membisikkan... “terima kasih Allah,..aku terima...aku redha..”. Akhirnya,
bertemankan air mata, dia terlelap dalam kelam bilik empat segi itu.
****************************************************************
Setelah seharian menghabiskan
masanya dimakmal menyiapkan projek tahun akhir, Izz Nurailiz lantas melangkah
perlahan, berjalan pulang ke asrama. Longlai langkahan kakinya memanjat satu
persatu anak tangga menuju ke biliknya. Peluh terpercik keluar, dirinya teramat
letih. Setiba sahaja dibilik, laju dia merebahkan sekujur tubuhnya yang hampir kehabisan
tenaga itu ke tilam. Sambil itu, pantas tangannya menekan punat radio pada
handphone kesayangannya. Berteman coleteh Dj radio, perlahan-lahan mata yang
sememangnya kuyu, terkatup rapat. Namun, mindanya masih di alam realiti. Bait-bait
lagu ‘Atas nama Cinta’ menyapa telinganya.
Tika mata...
diuji manisnya senyuman
terpamit rasa menyubur harapan
dan seketika
terlontar ke
dunia khayalan
hingga
terlupa
singkat perjalanan
tersedar aku
dari terlena
dibuai lembut belaian cinta
rela aku pendamkan
impian yang tersimpan
mengganggu keasyikan
gusar keindahannya
merampas rasa
cinta
pada Dia yang
lebih..
sempurna...
Dan untuk seketika
fikirannya melayang jauh, mengimbau saat manis, tika hati mula mengenal erti sebuah
cinta. Ya! Sebuah cinta yang hadir tanpa diminta. Lalu, gelodak perasaannya
itu, dia bawa pada sang Pencipta. Hanya dia dan sang Pencipta yang mengetahui,
tidak pada si dia yang disukai olehnya dalam diam.
‘Dia bukanlah cinta pandang pertamaku kerana pertama
kali aku bertemu dengannya, tiada yang aneh berlaku pada diriku. Dia seperti
kebanyakan kawan lelakiku. Tapi, entah kenapa simpati yang aku hulurkan pada
dirinya telah bertukar kepada satu perasaan yang lain, perasaan yang halus,
sayang dan suka padanya. Hanya itu yang aku mampu ungkapkan. Aku sendiri tak
pasti sejak kapan perasaan itu menghuni kamar hatiku.’ Hatinya mula menyusun
kata cinta. Tanpa sedar, bibirnya bergerak, mengukir senyum. Lantas menghilang,
terlelap bersama manisnya sebuah rasa yang pernah hadir menghuni laman hatinya.
Hari-hari
yang di laluinya, cukup mencabar, saban waktu memungkinkan kesabaran dan
kekuatan. Bidang professional yang diambilnya kini, terasa begitu berat.
Walaupun tak sepayah bidang kedoktoran, tapi..begitu sukar bagi dia yang
sememangnya sinonim dengan engineering. Namun, siapa menduga, yang jauh
disukainya itulah yang diperolehi. Dia sedar, dan dia tahu. Siapalah dia untuk
menolak takdir yang tertulis lama di alam sana. Dan, akhirnya..dia redha
bersama perancangan sang Pencipta yang Maha Agung!
Mentari
tak selamanya menerangi hari, pasti bulan akan mengambil tempat pada malamnya.
Terang sinar mentari kekadang terlindung oleh sang awan. Begitulah fitrah
alam. Begitu jua pada penghidupan kita.
Roda kehidupan senantiasa berputar. Tak akan terhenti walau hanya untuk sesaat
cuma. Gembira pasti bersilih ganti dengan duka. Bahagia pasti bergantian
derita.
Usai
menyiapkan assignment, laju tangannya menekan papan kekunci laptopnya menaip ‘Facebook’.
Untuk seketika, dia terlalai melayani setiap karenah posting-posting
rakan-rakan maya. Tiba-tiba, cursor itu terhenti pada skrin itu. Terkaku. Dia
terkesima. Sungguh dia tak meyangka. Sungguh tak pernah terlintas pada ruang
fikirannya. Tanpa disangka, air jernih itu mengalir deras. Menitik membasahi
hujung pakaiannya.
Air mata itu
masih terus-terusan mengalir..masih berdegil, masih laju merembes keluar dari
sepasang mata yang terkandung seribu satu rahsia dan rasa hati...dalam perit
menerima kenyataan realiti yang terlakar, bibir mungil itu masih bisa
membisikkan... “terima kasih Allah,..aku terima...aku redha..”. Akhirnya,
bertemankan air mata, dia terlelap dalam kelam bilik empat segi itu.
Kenyataan itu,
biar pun tak terlafaz secara jelas, namun, dia bisa mengerti pada bicara
maya antara dia dan dia. Teramat
mengerti sekali dan bermulalah sebuah episod duka pada coretan perjalanannya. Seminggu
dia demam. Seminggu juga dia membawa hati. Payah dia melenyapkan segala memori
itu. Yang pasti, jiwanya tersangat kecewa dan sedih saat itu. Mujur, kata-kata semangat
dari sahabat-sahabat tak pernah sunyi mendatangi hari-harinya. Tak terbalas
olehnya. Dalam derita, dia bersyukur kerana dianugerahkan sahabat-sahabat
sedemikian. Namun masa terus
berputar tanpa henti. Tidak mungkin untuk ia berhenti walaupun sesaat dan
kehidupan akan terus berjalan walaupun berbagai ujian yang mendatang. Pahit
atau manis. Kita terpaksa hadapinya. Begitu jua dirinya, dalam rela dan
terpaksa dia tiada pilihan. Dari saat ke minit, dari minit ke sejam, dan dari
sejam ke sehari dan seterusnya mengikuti urutan yang sepatutnya… itulah
kehidupan.
Seminggu
kepulangannya ke kampung halaman, dia kembali bersama semangat kental, bersama
azam baru. Tak akan sekali-kali dia memungkiri janjinya setelah coretan itu
menghiasi hamparan kasih diari kesayangannya. Perlahan, tangannya membelek
kembali halaman tersebut.
Bicara tentang cinta, tak
kan pernah lelah, tak pernah habis tak pernah menghampiri penghujungnya. Jika
dulu dialah lagenda cinta, yang bertahta utuh di sanubari..kini, sepoi-sepoi
angin petang aku cuba untuk menanggalkannya..pada sebaris nama yang bersemadi
bersama jasad ini, aku kan bahagia andai aku bisa memadamkannya dari kotak
fikiranku…jika esok masih milikku..izinkan aku untuk membisik syahdu kata cinta
buat terakhir kali untukmu teman..aku mengerti pada helaan nafas bicara maya
antara kau dan dia,..teramat mengerti sekali…walaupun jauh di sudut hatiku
masih mengharapkan dirimu untuk menjadi tahta buat hatiku untuk
selamanya..namun aku akur pada segaris
tadbir itu…andai itulah takdir kita, andai itulah jawapan rindu yang aku
nantikan pada separuh umurku..aku kan terima seadanya, redha pada keputusan
yang tersirat yang tertulis di balik bicara maya yang menghampar segarit perit
jauh ke hunjung tangkai hati..dalam payah aku mencari sekelumit jawapan cinta,
bukan sedikit air mata yang menitis, bukan sedetik jiwa ini mengumam kata
cinta, kata rindu pada seraut wajah itu, pada sebatang jasad itu….terlalu lama
aku rasakan, terlalu lama aku nanti, untuk meraih sebuah jawapan pada sekeping
hati ini…tanpa sedar, kudusku membawa rasa hati kepadaNya…syahdu, aku layarkan
padaNya..menitik mutiara jernih untukNya bersama pengharapan untuk bertemu pada
abjad-abjad dan dimensi yang bisa memaparkan sebuah jawapan….akhirnya, dihujung
penantianku,,Dia hadirkan aku pada jawapan itu…tak pernah terlintas pada
mindaku, tak pernah terbayang oleh sekeping hatiku…jauh tersimpang dari
khayalanku, jauh tersasar dari imaginasiku…terasa perit untuk menghadapi pada
hamparan jawapan rindu…sungguh teramat perit sekali….namun. dalam senduku, aku
masih bisa mengukir secalit senyuman hampar…gembira dalam duka, bahagia dalam
kecewa,..andai itu yang terbaik, aku relakan…dan aku tak akan sekali-kali
menjadi hamba sebuah cinta yang tak berpenghujung…cukuplah hamparan kasih ini
hanya untuk Dia yang lebih berhak…akan aku bangkit menepis bayangan semalam dan
mengusir bait-bait rindu yang berembun di setiap saat..akan aku berjalan tanpa
henti, melangkah selayaknya untuk mengubati luka jiwa yang pernah tergores dek
kesilapan semalam yang terlalu mentah menerima sebuah cinta yang hadir…akan aku
biarkan ia menjadi lagenda yang terindah dan teladan yang terpahit buatku untuk
meneruskan sebuah pencarian yang lebih hakiki..dalam menggapai cebisan cinta
ilahi…dan akhirnya, hembusan bayu hangat cinta,,,perlahan-lahan mengendur,
menjadi sebuah lagenda….
010912
Izz nurailiz
Dan masa terus berlalu, meninggalkan kisah
semalam. Alam terus menyanyi lagu cinta pada sang Pencipta, tanpa jemu,
terus-terusan melagukan zikir cinta.
*****************************************************************
Panggilan
dari umi petang itu, mengusik kembali laman hatinya. Dapat dia rasakan, gelora
gelisah yang kian menghampiri. Izz Nurailiz termangu sendirian. Setelah hampir
2 tahun kamar hatinya sunyi dari sesak perasaan berbau cinta kepada sesama makhluk.
Hanya cinta Sang Pencipta yang memenuhi setiap rongga sendinya. Kini, taman
hatinya diketuk lagi oleh sang cinta. Dalam kekusutan menghadapi ombak perasaan
kala ini, tanpa segan dia layarkan hatinya pada Tuhan..malam-malamnya kembali
ditemani tangisan memohon kepada sebuah jawapan.
“Umi
macam mana?”
“Umi
tak kisah, Umi ikut Nur,..jika Nur setuju, Umi akan terima...lagipun sejuk mata
Umi tengok orangnya. Ayah pun seakan bisa menerima” Umi berterus-terang. Aku hanya
diam.
“hmm...kalau
begitu kata Umi, teruskan saja majlis itu Umi...InsyaAllah, Nur akan pulang
pada hujung minggu ini..”
“Nur,
kamu dah fikir masak-masak ke? Jangan disebabkan Umi dan Ayah, kamu terima
orang itu. Jika kamu ada orang lain, Umi dan Ayah tak akan menghalang selagi
dia boleh mencintai anak Umi seadanya” Kedengaran getaran pada suara umi. Aku
bisa merasakan sendu suara umi.
“
ya, Umi..Nur terima dia kerana Allah dan Nur yakin itu..” perlahan suaraku,
tapi bisa didengari oleh Umi.
Cincin
bertahta berlian itu selamat tersarung indah dijari manisku. Aku tersenyum
tatkala sirna mata sang ibu memandangku, bagaikan satu pengharapan. Dan aku
seaakan-akan mengerti pada sinaran itu.
“InsyaAllah,
saya akan menjaga anak mak cik seperti saya menjaga nyawa saya sendiri”
desisku. Dalam diam aku mengukir kata
janji.
“Nur,
ini gambar tunang kamu.” Umi menyuakan sekeping foto ke arahku. Aku senyum.
“Umi
simpan je dulu gambar tu.” kataku lembut.
“Tapi,
sekurang-kurangnya lihat dulu fotonya” bicara Umi lagi, semacam tidak berpuas
hati dengan keputusanku itu. Dan aku pula sekadar menggeleng dan tersenyum.
*************************************************************
“err...kenapa
saya?” bersama hembusan desahan nafas yang berat. Dia ragu-ragu mendongak.
Dia hanya
tersenyum simpul. Sama seperti sebelumnya, jika ditanya dari mana dan bagaimana
dia bisa mengetahui segala-galanya tentang sejarah hidupku dan sahabat-sahabat
baikku, hatta, si dia yang pernah bertahta utuh dihati suatu ketika dulu.
Lagaknya, tenang. Ketenangan yang dipamerkan pada keindahan seraut wajah itu
menambah gusar dijiwa. Berbagai persoalan menerjah ke dasar sanubari. Perlahan
dia bangun menghampiri sebuah almari. Laci dibuka perlahan. Buku berwarna hitam
dikeluarkan.
“Sayang baca
ni, segala persoalan sayang ada tercatit disini” katanya dan lantas menyua buku
itu kepadaku.
Buku setebal seinci
itu bertukar tangan. Teragak-agak aku membuka lembaran demi lembaran.
Pada lembaran
terakhir buku itu, tertulis indah didada hamparan putih itu ‘andai silammu si dia
yang menjadi cinta pertamamu, izinkan aku, Mohamad Qusyairi Ikmal bin Mohamad
Hakim, menjadi cinta terakhir dalam hayatmu, cinta realitimu dan cinta halal
bagimu...wahai cinta hatiku Izz Nurailiz Binti Alias’. Menitis air mataku. Aku
tersentuh pada serangkap kata-kata itu. Jujurnya, aku tersangat mengenali buku
berwarna hitam setebal seinci itu. Ianya, milikku!
Abang
menemukan ia dibalik pokok di tepi jalan. Jika sayang masih ingat, sewaktu
sayang dirempuh oleh seorang peragut, abanglah orang menolong sayang mengutip
barang-barang sayang yang berselerakan. Oleh sebab sayang terlalu kelam-kabut
mengejar waktu, panggilan abang tak sempat menjengah pada gegendang telinga
sayang untuk menyatakan buku ini masih digenggaman tangan abang. Mungkin sayang
tak mengingati wajah abang. Tapi tidak pada abang, kerana buku ini perlu
kembali kepada pemiliknya. Maafkan abang kerana mengambil waktu terlalu lama untuk
mengembalikan diari sayang ini dan sebenarnya, abang telah terlanjur membaca
tintamu, bidadariku. Maafkan abang, tapi abang tak menyesal, kerana abang
yakin, Allahlah yang mengerakkan hati abang untuk membaca diarimu walaupun
abang mengetahui ianya salah dan mungkin sayang tak akan bisa memaafkan abang!
Namun, tulisan dan coretan cerita indah dan dukamu menemukan abang dengan
seseorang yang lama abang nantikan. Seseorang yang selama ini abang cari. Mujur,
langkah kanan kaki abang menghadiri majlis pernikahan sahabat abang menemukan
abang dengan sayang disana. Dari situ, abang mengetahui sayang adalah saudara
kepada sahabat abang. Dan dengan pertolongannya, abang merisik sayang dan
segala-gala terlakar indah, terjalin cantik.
“bisakah sayang
menerima abang sebagai imam sayang setelah mengetahui segala-galanya?” Bundar
matanya menatap sepasang mata milikku. Penuh pengharapan.
Diam
seketika. Alam bagaikan turut mengerti, putaran kipas bagaikan terhenti.
Semuanya, seolah-olah tak sabar menanti
butir bicaraku. Aku memejamkan mataku untuk seketika. Perlahan-lahan aku
menggangguk.
“tapi,
kenapa saya? Saya bukanlah seorang yang sempurna untuk menerima cinta insan
soleh seperti abang, sejarah silam yang tak seindah banyangan firdausi dan
kekhilafan yang pernah menghantui...layakkah saya untuk seorang yang sesempurna
abang?” dalam sendu aku menuturkannya. Ya! Sememangnya selayak sebegitu.
Kisahku tak seindah kisah Siti Khadijah, tak sehebat kisah Siti fatimah. Ku akui,
saat pertama kali, saat sepasang mataku menatap seraut wajah insan yang bakal
menjadi imamku kelak sebelum lafaz sakinah ijab kabul terlafaz, aku terkesima.
‘Subhanallah’ hanya itu yang mampu dituturkan oleh bibirku saat itu. Terlalu
indah seraut wajah dihadapanku kini. Berkali-kali aku menanyakan ibu. Betulkah
itu bakal suamiku, dan berkali-kali juga ibu mengiakan. Akhirnya aku terdiam,
tertunduk membisu memandang lantai masjid.
“abang juga tak sempurna sayang, cukuplah
abang katakan yang Allah yang memilih sayang...bukan abang” perlahan, tapi
cukup jelas. Tanpa sedar, air mataku menitik, jatuh terurai mengenai
jari-jemari suamiku. Mutiara jernih yang mengalir saat ini mendendang irama
bahagia, tak seperti sebelumnya. Aku
bersyukur atas rahsia cinta yang dirancang kemas oleh sang Pencipta yang
Maha Esa!
|
fitrah manusia yang ingin dicintai dan mencintai |
Kadangkala Tuhan hilangkan sekejap mentari, lalu Dia datangkan kilat dan
guruh. Puas kita mencari dan menanti dimana mentari, rupa-rupanya Allah ingin
hadiahkan kita pelangi yang indah (Nurull Halawati). Kehidupan tak semudah yang
kita fikirkan. Tapi, ia tak serumit yang kita fikirkan juga. Asalkan kita lalui
kehidupan dengan baik dan melakukan perintah-Nya, insyaallah, semuanya akan
berjalan lancar (Nurul Ain Syuhada). Jika orang beriman mendapat kesenangan, maka dia
bersyukur, hingga hal itu menjadi suatu kebaikan baginya, dan jika dia ditimpa
kesukaran, maka dia bersabar hingga hal itu pun menjadi suatu kebaikan baginya.
(Riwayat Muslim).
030213 Nur Azmi