Thursday, November 28, 2013

bila cinta memanggil`

bismillah


hati segan-segan mendekat
malu-malu menghampiri
cinta Dia terlalu indah
untuk seorang hamba seperti aku
malu aku pada cinta aku yang biasa-biasa
segan aku bila rindu aku yang biasa-biasa

Allah!
ampuni aku
peluklah aku
bimbinglah aku


bila cinta memanggil,
aku ingin bertabah,
aku ingin bersabar
berilah aku kekuatan Tuhan
untuk terus istiqomah...

jaulah

bismillah..

lama, mereka inginkan, dan aku juga, lama aku mahukan, namun, baru hari ini Allah izinkan..alhamdulillah, setelah hampir 4 tahun kami bersama-sama, 1 muharram menjadi saksi cinta kami bersatu dalam jaulah cinta 5 deans ^^,

jaulah kami menuju  negeri cik siti wan kembang...menyelusuri jalan pantai, menyaksikan keindahan langit biru pantai di sisi-sisi jalan, berlatarkan kanvas pemandangan ciptaan Tuhan yang sangat measyikkan bersama alunan muzik di corong radio menambah keindahan.

alhamdulillah!

syukran sahabat ^^

ana sayang antum semua

semoga jaulah kita menjadi memori cinta terindah

Pengharapan

bismillah...

ku ingin biasa dalam pengharapan,
cukup untuk sebuah kekuatan,
cukup untuk sebuah kesabaran,
tak mahu lebih-lebih,
takut hatikan rebah pada batas,
penantian dan pengharapan yang melangit,
hingga banjir mencurah-curah,
untuk sebuah kekecewaan.

::cukup::sederhana::diam::

Monday, November 18, 2013

Tersaktah aku

bismillah..

Senyap, sunyi, buat seketika, aku biarkan hening malam berkata-kata. Membiarkan sunyi malam menemani tanpa jemu, berteleku dan bertasbih beriringi desah-desuh bilah-bilah kipas membelah angin bergandingan langsir tetingkap lemah gemalai menari-nari bersama rentak bilahan kipas, menghangatkan suasana, namun masih tak mampu mengusik beku hati pemilik kamar. Malam yang dingin ditambah putaran angin dari kipas yang terletak elok di tepi dinding membuatkan suasana bertambah dingin. Ya, sedingin hati ini.
Tadi, fikiran agak kelibut, selirat dengan bermacam-macam masalah. Lalu, semilir dengan rasa, hati mula memberontak untuk membelek surat cinta dari pemilik hati ini, nyata, ayat-ayat cinta yang diukir indah bisa menenangkan sekeping hati ini. Namun, dalam tenang mengukir di relung hati, tersaktah aku pada dialog antara Allah dengan Jahanam yang dinukilkan penuh tersirat dalam surah Qaf ayat 30 yang berbunyi:

(ingatlah) pada hari (ketika) Kami bertanya kepada Jahanam “Apakah kamu sudah penuh?” Ia menjawab, “Masih adakah tambahan?”

Allah! Allah!
Lama aku tersaktah pada ayat itu. Terhenti sejenak, tiba-tiba hati ini terasa basah! Basah dengan arus sungai kesedaran dan kegerunan! Allahuakhbar! Sebegitu ramaikah?


Sunday, November 10, 2013

masih ada..

Bismillah…


Pagi itu seperti biasa, aku masih menjejakkan kaki ke laman cinta. Laman yang penuh mehnah dan tribulasi, ya…begitulah caranya Dia tunjukkan kasih dan sayang J Cuma yang bezanya, laman cinta kali ini bukan laman yang sering aku jejaki saban hari, kali ini aku ke makmal MTKM untuk projek Product Development. Bukan ini yang ingin aku sampaikan, cuma isinya terkandung didalamnya.

Sedang asyik aku membersih daun pisang, Allah hadirkan  secebis paparan dari kisah-kisah indahNya  buatku. Alhamdulillah…masih ada rupanya. Senyum melihat paparan kehidupan terus depan mata.
“bukankah agama itu cerminan akhlak?”

Fikir-fikirkan. Tepuk dada, tanya iman J

Sabda Rasulullah s.a.w:

Sesungguhnya Allah SWT telah menyerahkan agama itu pada diri seseorang, maka tidak baik agama itu melainkan dengan ketinggian dan keelokkan akhlak. Adakah kamu mengelokkan agama kamu dengan kedua-dua sifat mulia ini?” [ Riwayat at-Tabrani]

Ceritanya bermula tengahhari itu, sedang asyik aku membersih beberapa kepingan daun pisang, pandangan aku diterjah oleh babak-babak penuh ibrah. Senyum aku melihat sosok tubuh junior yang bahagia dengan kelapangan waktu tika ini. Iyalah, bila bergelar pelajar tahun akhir, nikmat yang satu itu seakan-akan menghindar. Busy memanjang! Junior itu berbangsa cina. Dia melangkah perlahan melintasi tetingkap makmal tempat aku berdiri, lantas  tubuhnya menyusup laju ke kereta empat segi itu. Belum  sempat jemarinya memulas suis yang terletak elok di lubang kekunci, dia disapa dengan sekeping kertas putih dari seorang pak cik, yang pada firasat aku mungkin dalam 30-an. Pak cik itu menghulur secarik kertas itu padanya. Pada pandangan sisi aku, aku bisa lihat, junior itu termangu-mangu melihat kertas itu. Terkejut mungkin. Namun, dalam terkejutnya dia, dia masih menghulurkan tangannya untuk menyambut huluran kertas putih itu. Dalam hati aku, macam-macam telahan berlegar-legar. Surat samankah? Tapi, takkanlah...sebab pada aku, junior itu telah parkir pada tempat yang betul. Lantas? Apakah ia?

Kejadian itu menarik minatku untuk terus melihat segenap inci babak-babak yang akan terjadi seterusnya.
Dari jauh, aku lihat berlaku dialog dua hala antara pak cik dan junior tersebut. Aku cuba memasang telinga, malangnya, sepatah pun tak bisa aku tangkap. Tempat aku berada tak memungkinkan aku untuk mendengar, tak mengapa. Yang penting, aku bisa memahami sosok ceritanya dari jauh. Sengih. Dari tepi, aku lihat pak cik itu menunjuk-unjuk pada side mirror kereta milik junior itu. Perbualan mereka terfokus pada side mirror tersebut. Dan dari jauh, aku mengintai-ngintai melihat cermin sisi itu. Pandangan aku memberitahu yang cermin tersebut telah terpatah, layu ke bawah. Ku lihat, jari-jemari junior membetul-betulkan cermin itu. Hasilnya masih sama, masih layu ke bawah, tidak tegap seperti biasanya.

Sejurus kemudian, pak cik itu beredar dan junior itu menghidupkan keretanya yang tempang tanpa cermin sisi sebelah kanan. Beberapa minit kemudian, sebuah kereta berwarna  silver menyusur menghampiri kereta junior itu. Cepat aku mengerakkan bebola mataku melilau mencari si pemandu, subhanallah..! pak cik tadi. Sejurus selepas itu, mereka menyusur membelah angin menuju satu tempat yang aku rasa semua bisa mengagak. Tak lain, adalah workshop. Mungkin.

Diam tak berkutik aku, lenyap  semua telahanku. Dalam hati aku tak habis-habis mengucap syukur. Dalam hati, aku kagum padamu ‘Pak Cik’. Akhlak yang kau persembahkan sangat osem. Sangat terpuji. Pada aku, kau telah meletakkan Islam pada tempatnya. Selaras dengan ajaran kita. Selaras dengan syariat Islam. Bersifat bertanggungjawab. Kau bertanggungjawab selepas kau yang secara tak sengaja melanggar cermin sisi junior tersebut. Kau datang menemuinya, walaupun kejadian itu terjadi pada waktu semua orang tak meyedari akan ia terjadi. Even aku, juga junior itu dan orang-orang yang lalu-lalang pada hari itu. Semuanya tak sedar akan perlanggaran itu. Terakam pantas tanpa seorang pun menyedari. Tapi, kau yang memakai pakaian Islam dengan akhlak yang tertanam suci masih juga datang menyerah diri memberitahu yang sebenarnya. Aku rasa, jika bukan kerana akhlakmu yang terdidik baik, tak mungkin kau akan berlari datang menyerah diri kerana hakikat sebenar itu pahit bukan? Kau bisa aja pergi menonong tanpa mempedulikan kerosakan kecil itu. Sebab, tiada siapa pun sedar. Tapi, kerana imanmu, kau tahu, Allah telah merakam akan peristiwa itu bukan? Lantas, kau datang memperbaiki keadaan. Dari dalam hatiku pak cik, aku salut padamu. Kau telah membuktikan, walaupun zaman berganti-ganti, walaupun teknologi canggih-canggih, tapi akhlak itu ukuran pada sesebuah tamadun.

Melihat akan peristiwa penuh ibrah itu, hati aku tak habis-habis memuji-muji Tuhanku. Allah, Allah...masih ada lagi rupanya, seorang muslim seperti pak cik itu. Semoga Allah merahmatimu Pak Cik dan kami semua. Semoga hati-hati kami, bisa seteguh hati Pak Cik dalam menghadapi ujian cinta dari Tuhan kami. J

Azmiana_6 Nov 13, MTKM


pics during the lab Product Development ^^

The Making of Redang Pulut