Thursday, September 5, 2013

Lukisan senja

Bayu petang menampar-nampar lembut wajahnya. Riaknya masih sama seperti tadi. Pandangannya ditalakan ke hadapan. Jauh nun ke hujung garisan bumi. Kosong! Petang yang mendamaikan, bertemankan melodi indah dari sang ombak serta silauan hening senja masih tidak mampu mengusir segala rasa yang hadir dijiwanya saat itu. Masih resah. Masih gelisah. Kemalangan perasaan pada lewat tengah hari semalam berlarutan hingga ke hari ini. Tiada disangka, sebutir mutiara jernih bergerak menuruni cerun pipi dan lantas jatuh berderai mencium keras bongkahan batu.

Solehah membungkus keberanian. Hanya diam membisu. Dari tadi dia memerhati tingkah laku sahabatnya. Pelik. Namun, tak berani untuk dia bersuara bertanya. Hanya mampu memandang penuh tanda tanya. Untuk seketika, dia turut larut dalam lautan perasaan. Perlahan-lahan dia pejam mata. Nafas ditarik panjang. Cuba meraih keberanian mungkin.

“kakak..” kelopak matanya dibuka perlahan. Pandangan dikalihkan ke sebelah.

Senyap!

Tiada sahutan. Hanya kedengaran desah ombak. Insan disebelahnya masih seperti tadi. Hilang dalam khayalan.

“kakak..” sekali lagi dia bersuara. Lebih kuat dari sebelumnya. Sambil menggerakkan tangannya meraih jari-jemari insan disebelahnya. Jari sahabatnya digenggam kemas.

Ria menoleh perlahan. Mata mereka bertembung. Lama.

Alam sunyi buat seketika, khusyuk bertasbih agaknya. Seakan mengerti gelodak perasaan penghuninya senja itu. Tiada kedengaran decitan sang pipit, jua siulan sang murai. Tak seperti selalunya.

Solehah merapati sahabatnya. Dipeluk sahabatnya dari tepi. Erat. Kejap. Seakan mahu mengalirkan api kekuatan.

“kakak, sabar ye. Yakinlah, Allah bersama kakak. Walaupun adik tak tahu apa yang sedang kakak alami, tapi adik percaya kakak bisa mengharunginya dengan baik. Adik tahu kakak seorang yang kuat. Adik kenal kakak. Teramat mengenali sekali. Kuat ye kakak” laju bibirnya berbicara. Cuba menyuntik motivasi.

“adik…” serak. Perlahan. Pandangan masih seperti tadi. Tak berubah. Hanya pelukannya yang semakin erat.
……………………………………………………………………………………………………......

Ria - Bila hati dah tak mampu untuk menerima apa-apa…segalanya bagaikan terhenti…tiada air mata yang menitis, tiada jua kata-kata yang bisa dituturkan…hanya hamparan sebuah rasa yang tergambar jelas, rasa hati yang mengcengkam sanubari, perit! Perih dirasai..pedih jauh ke dasar hati..

Solehah - Sedalam mana luka yang terhiris, seperit mana ujian yang menghempap, bersabarlah. Bangkitlah! Allah menghadirkan ujian dan halangan bukan untuk melemah kita. Tapi untuk menguatkan kita. Kita sama-sama bangkit ya kakak!

Terpandang sebuah tulisan seorang sahabat,

Aku juga mungkin bukan yang terbaik
untuk datang menenangkan hati gundah kamu.
cuma aku mahu ceritakan gerangan yang paling manis di dunia
iaitu mencintai Allah dan RasulNya.
melebihi kecintaanmu kepada manusia dan bumi seiisinya.

Ibnu Qayyim mengatakan,
"Ketika orang lain bergantung pada dunia, gantunglah dirimu hanya kepada Allah.
Ketika orang lain merasa gembira dengan dunia, jadikanlah dirimu gembira kerana Allah.
Ketika orang lain merasa bahgia dengan kekasih-kekasih mereka, jadikanlah dirimu bahagia dengan Allah.
Dan ketika orang lain pergi menghadap raja/pembesar untuk mengais harta dan mencintai mereka, jadikan dirimu benar-benar mencintai Allah."

Ambillah waktu masing-masing
untuk kita, sendiri-sendiri duduk
bermuhasabah kembali atas segala yang terjadi
mencari hikmah di sebalik ketetapan ini.

Ambillah waktu masing-masing
untuk kita, sendiri-sendiri duduk
beristighfar dan menghitung nikmat-nikmat
bukan sekadar menangis dan menyalahkan.

Mungkin ini caranya Tuhan mengajarkan kita bagaimana untuk punya peribadi yang paling lapang dadanya dan paling besar jiwanya.
-Syafa Mohamed-

Adik ingin kakak tahu, Allah sayangkan kakak dan kita semua 

No comments:

Post a Comment